Thursday, February 19, 2009

Pengorbananmu tiada tandingan..

Assalamualaikum w.b.t.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."-Luqman-14

Betapa sayunya hati tatkala membaca ayat2 Allah.. Semua dijelaskan dengan cukup sempurna. Anak2 diajar mentaati ibu bapa selagi mana perintah mereka tidak bertentangan dengan syarak. Memang patutlah Allah mewajibkan kita berbuat baik kepada ibu..
Cubalah dilihat kembali akan jasanya yang tak pernah putus dan berhenti walau sedetik pun. Nilai kasih-sayang dan cinta yang Allah kurniakan terhadap hati2 wanita yang bergelar ibu ini amatlah luar biasa sekali. Subhanallah!

Bermula sejak kita belum dilahirkan lagi, ibulah orang pertama yang kita susahkan. Kita telah menyusahkan ibu kita dengan memaksa dia membawa kita di dalam kandungannya sehinggalah kita dilahirkan. Bukan tempoh yang singkat namun, dalam jarak masa yang agak panjang iaitu biasanya 9 bulan 10 hari. Dalam tempoh itu, pelbagai ujian telah mereka alami. Ada yang mengalami alahan yang sangat memberi kesan kepada dirinya. Teringat saya pada kata2 guru Sains saya masa form3 "Wanita mengandung ni pada 3 bulan terawal akan mengalami perubahan emosi sebanyak 360darjah daripada biasa". Wah! dahsyat sungguh ujian Allah terhadap mereka.

Kemudian mereka melahirkan dengan keadaan yang amat sukar sekali.. dan menyusukan kita dalam tempoh yang agak lama. Setelah itu, kita dibesarkan dalam keadaan penuh kasih-sayang dan segala kainginan kita dipenuhi. Hinggalah ke saat ini, jasa mereka tidak akan pernah luput kerana kita perlu kita ingat! Tanpa ibu yang mehirkan kita maka, tidak mungkin kita akan hidup pada hari ni..

:::Kisah ibu yang sanggup berkorban:::

Semasa mengikuti kursus 'Mempertahankan diri' di Balai Ilmu, Akademi Pengajian Islam beberapa hari lepas, penceramah ada memaparkan mayat seorang ibu yang putus tangannya yang badannya dipenuhi luka2 dan kesan tetakan yang amat menyayat hati.
Apa yang amat terkesan di hati saya ialah ibu ini sanggup menggadaikan nyawanya semata-mata kerana cintanya pada anaknya dan ingin menyelamatkan nyawa anak daripada serangan penjahat. Pada mulanya dia menahan dengan tangannya sehinggalah putus ditetak. Dia tidak berganjak kerana cintanya. Kemudiannya bahagian atas tangannya sebelah lagi lagi pula ditetak dan dilukakan. Mungkin tak tahan dengan kedegilan ibu ini, si penjahat tersebut terus menetak leher ibu ini.. MasyaAllah! Akhirnya ibu ini meninggal demi anaknya. Sayunya hati tatkala melihat akan pengorbanan ibu ini. Seandainya dia adalah seorang muslim, saya doakan agar Allah mengampuni segala dosa2nya serta meletakkannya di tempat yang tertinggi. Amin.

Bagi kita yang masih ada ibu di sisi, jagalah anugerah yang Allah berikan kepada kita ini.. Hargailah mereka. Ibu adalah insan pertama yang perlu kita dahulukan dalam segala hal kecuali bagi wanita yang sudah berkahwin yang perlu lebih dahulukan suaminya dan yang kedua adalah ibu.

Teringat saya semasa cuti Hari Raya lepas, semasa kami ahli keluarga sedang beramah mesra dan berborak di rumah atuk sebelah ibu. Ibu saudara(Cek La) saya dengan nada sedih dan titisan airmata bertakung pada kelopak matanya. Dia berkata kepada ibu saya ketika itu tentang dia ada membaca sajak yang saya tampal di softboard bilik saya di kolej kediaman saya di UM ketika dia datang ke bilik saya. Dia terharu dan menangis semasa membacanya. Antara petikan sajak itu:

Ma..
engkaulah ibu, engkaulah abah..
penat lelahmu dipendam..
terukir senyuman yang mendamaikan..
aku mencintaimu kerana..
engkaulah yang melahirkanku..
menyusukanku..
membesarkanku..
menyokong setiap keputusanku..
tak terbalas segala jasamu..
hanya doa dan kasih-sayangku yang dapat
kuberikan untukmu..
kurindukan dirimu..

Saya menulis sajak ini pada suatu ketika saya amat rindukan 'ma' saya. Masa tu saya menaipnya dengan air mata yang mengalir laju kerana mengenangkan jasanya yang tak terhingga. Selepas abah meninggal pada tahun 2001, 'ma' lah yang sangat bersusah-payah membesarkan kami 9 beradik kerana masa tu kakak sulungku baru berusia 15 tahun.. tiada siapa yang bisa menghitung jasanya. Semoga Allah mengurniakan sebesar-besar ganjaran buatnya.
Saat ibu saudaraku menceritakan tentang itu, air mata ibuku juga turut mengalir..
Ma, tak terbalas jasa-jasamu.. Kupohon ampun salah dan silap. Redhalah ke atas diriku sewaktu hidup dan matiku..

No comments: