Monday, April 20, 2009

Indahnya ukhuwah..

" Indahnya ukhuwah tatkala ia dihayati..
Berkasih-sayang hanya keranaNya..
Saat bertemu, bersama dan berpisah terus dikenang.."

Hari ini adalah hari yang penuh bersejarah dalam diari hidup saya. Petang tadi warga APIDS telah selesai mengadakan satu program rehlah di Ulu Yam sempena perpisahan kami bagi sesi asasi. Di sinilah saya melihat wajah2 kebahagiaan dan hati-hati yang saling bertaut kerana Allah..
Syukran sahabat yang sudi bersahabat dengan saya. Maafkan segala salah silap sepanjang kita bersama. Moga Allah akan sentiasa merahmati kalian dan mengekalkan ikatan ukhuwah yang terjalin ini hingga ke syurga. InsyaAllah.

Friday, April 10, 2009

Teruskan bersama mereka..


Semangat untuk bersama umat Palestina janganlah hanya bermusim
Kita mesti sentiasa bersama mereka..
Lihatlah bagaimana kekuatan aqidah antara mereka
Terutamanya HAMAS..
Mereka sanggup lakukan apa saja
untuk memerdekakan bumi anbia tercinta..

Mereka hanya mengharapkan 2 kemenangan
Sama ada syahid.. atau menang..
Seorang demi seorang pemimpin mereka
Gugur sebagai syuhada..

Siapa tidak kenal..
Syeikh Ahmad Yasin
Dr. Abdul Aziz al-Rantissi
Syeikh Salah Syahadah
Mereka terus dikenang..sebagai perwira agama

Walaupun kehilangan pemimpin utama..namun..
Mereka tidak pernah lemah..bahkan
HAMAS terus gagah..
Mereka sanggup lakukan apa saja..
Demi menjulang agama tercinta..
Allahu Akbar!

Thursday, April 2, 2009

Tiitik tolak perjuangan bermula di sini..

sekadar gambar hiasan..

Pagi ini, kuhirup udara pagi disertai bunyi kicauan burung yang mendamaikan..
Jalan raya semakin sibuk dengan kereta yang memacu di atasnya.

Beberapa hari lagi.. Semua pelajar asasi akan menghadapi final exam.. termasuklah diriku.
Terpegun aku melihat roomateku yang sangat gigih berusaha mencapai cita-citanya.
Masa tidurnya sangat sedikit berbanding masa untuk 'study'nya. Semuanya dilakukan secara konsisten semenjak awal semester lagi..

Begitulah dia.. Di awal pagi, bangun untuk mendekatkan diri dengan Tuhan serta memohon dariNya.. Kemudian meneruskan pembelajarannya. Memang patutlah dia digelar pelajar cemerlang kerana kecekalannya itu..

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:
" ...sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui." Al-Anfaal:53

Perjuangan perlu diteruskan.. Menuntut ilmu adalah satu perjuangan..
Selamat study buat semua sahabat APIDS dan PASUM. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita. Mudah-mudahan ilmu yang kita peroleh di asasi ini akan menjadi titik tolak sebagai permulaan dalam sumbangan kita terhadap ummah kelak. InsyaAllah.

Bittaufiq wannajah.

Monday, March 23, 2009

Bersabarlah..


Assalamualaikum w.b.t.
Sudah lama rasanya tak mengepost artikel kat blog ni..
InsyaAllah sedikit perkongsian untuk tatapan semua.

Ada seorang insan yang berhati waja meluahkan segala apa yang tersimpan di sanubarinya untukku.. segala masalahnya diperdengarkan padaku.. Semuanya untuk berkongsi masalah agar segala bebanan yang tertanggungnya seorang dapat diringankan..

Aku terkedu.. Rasa sungguh terharu.. dan hanya mampu mendengar dengan mulut yang tidak berbicara.. Aku dengar dengan teliti apakah yang sudah lama terkumpul di lubuk hatinya.. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul..

Baginya semua orang tempat dia luahkan masalahnya tidak memahami akan keadaannya..
Bahkan mereka hanya menambahkan lagi masalahnya.. Mereka tidak membantu namun, terus
menghukumnya dengan bermacam-macam prasangka.

Bagiku.. dia keseorangan dalam melayar hidupnya. Mungkin dia sudah pun mengadu akan masalahnya di depan Tuhan namun dia perlukan seseorang sebagai penemannya dalam berbicara.. Aku tidaklah layak untuk itu.. Bahkan aku tak mampu untuk menyelesaikan masalahnya.. namun, aku hanya senyap mendengari masalahnya.. Betapa resah hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.. Aku simpati.. dan aku menangisi akan peritnya penderitaannya. Tapi apalah sangat yang aku mampu lakukan untuknya? Aku hanya insan biasa yang juga turut melakukan salah dan dosa.

Dia adalah wanita berhati waja.. Melayari bahtera hidupnya dengan begitu gagah walaupun hanya dengan kudrat seorang wanita. Walaupun tiada siapa disisinya, namun dia ada Tuhan, yakni Allah Azza Wajalla yang sentiasa membantunya.. Dia tidak pernah mengaharapkan sesiapa mengasihaninya cuma dia perlukan seseorang untuk berbicara. Segala tanggungjawab yang digalasnya seorang terus dilakukan dengan penuh semangat tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Aku kagum akan dirinya namun, aku amat mengasihaninya. Nuraniku sentiasa berbisik, mudah-mudahan Allah sentiasa membantunya.

Wanita adalah insan lemah.. namun, mungkin ini adalah ketentuan dariNya. Semuanya ada hikmah yang tersirat. Mungkin ujian-ujian inilah sebagai tiket untuknya menuju ke syurga andai dirinya terus sabar, redha dan sentiasa mensyukuri nikmat-nikmatNya. Ya Allah, bantulah dirinya.. Aku tak mampu membantunya namun, kuharap agar Engkau menenangkan hatinya serta memberi sebesar-besar ganjaran buatnya. Amin.


Hayatilah firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud :

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)."

Yakinlah akan janji Allah.. Mudah-mudahan dengan sabar, kita akan sentiasa mendapat pertolonganNya.

Friday, March 13, 2009

Di sebalik ujian itu..


Syukur kepada Allah kerana masih memberi ruang untukku meneruskan kehidupan ini di samping nikmat yang melimpah ruah yang tak terhitung bilangannya.
Setelah bercuti selama beberapa hari di kampung halaman, saya selamat sampai di Kuala Lumpur pada pagi Rabu, 11/03/09 untuk meneruskan sisa-sisa pengajian di peringkat asasi ini. Pada pagi itu pula ada kelas dari pagi hingga ke petang. Entah kenapa, pada hari itu badanku terasa lemah dan tak bermaya. Kepalaku terasa sakit menyengat. Keesokannya, saya tidak menghadiri kuliah kerana kesihatan yang sangat tidak mengizinkan. Saya ke klinik ditemani seorang sahabat yang baru saya kenali.. Mudah -mudahan Allah membalas jasanya.. Dialah banyak membantuku pada hari itu.
Mungkin inilah kaffarah terhadap dosa2 yang telahku lakukan..Atau mungkin juga satu ujian daripada Penciptaku, Allah yang Maha Agung.
Bukankah Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)."
Al-Baqarah : Ayat 214

Ya.. Aku redha akan ujian ini.. Apalah sangat ujian ini jika dibandingkan dengan ujian yang Allah
timpakan ke atas Rasul dan orang-orang terdahulu.
Sesungguhnya Allah menimpakan sesuatu ujian ke atas kita sesuai dengan kemampuan kita.
FirmanNya yang bermaksud:
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Al-Baqarah : Ayat 286

Sesungguhnya setiap penyakit ada penawarnya.. Di dalam Al-Quran dan hadis sahih telah disebutkan mengenai penawar ini.. Misalnya dalam Surah An-Nahl, ayat 69 Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
"Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."

Dalam hadis sohih pula ada disebutkan:
" Tetaplah kamu dengan Al-Habbah Al-sawda' ini kerana sesungguhnya ia mengandungi penawar bagi segala penyakit kecuali mati."
H.R: Al-Bukhari dan Muslim

Begitulah hebatnya Allah.. Kelihatan mukjizat Al-Quran itu betapa ia mendahului Sains. Ini semua kerana ianya adalah daripada Allah, Pencipta kita semua sebagai makhluknya.. Dia Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh makhlukNya. Begitu juga hadis-hadis yang datangnya daripada nabi S.A.W yang pada hakikatnya juga datang daripada Allah S.W.T. Maha Suci Engkau Ya Allah..

Oleh itu, sebagai insan yang beriman, hendaklah kita yakin terhadap Al-Quran dan As-Sunnah. Sentiasalah kita mengamalkan kedua-dua penawar ini iaitu madu dan habbatus sawda dengan penuh keyakinan kerana ianya secara jelas telah dinyatakan dalam Al-Quran dan sunnah.

Kini, madu dan habbatus sawda mudah didapati di mana-mana sahaja dan kebanyakannya adalah produk buatan muslim sendiri.
Syukur pada Allah kerana pada hari ini saya terasa lebih sihat. Sesungguhnya nikmat sihat itu juga merupakan satu ujian. Mudah-mudahan diri ini tidak terlalu leka dengan nikmat ini kerana Allah boleh menarik nikmat yang ada pada diri ini bila-bila masa sahaja.
Wassalam.

Monday, March 9, 2009

Ikuti sunnah nabi s.a.w tanda mencintainya..


Bismillahirrohmanirrohim..
Syukur kpd Allah kerana masih memberi ruang untukku menghirup udara di dunia ini serta masih membuka peluang dan pintu2 untuk sentiasa dekat denganNya. Alangkah hina dan sia-sianya diriku ini andai mempersiakan nikmat kurniaan Ilahi dgn terus leka serta membiarkan ia berlalu begitu sahaja..

Semalam.. adalah cuti umum sempena sambutan Hari Maulidurrasul di Malaysia. Di negara kita, pelbagai agenda telah dilakukan oleh kerajaan mahupun rakyat sendiri dalam meraikan hari tersebut. Ada yang mengadakan perarakan..ada yang mengadakan majlis selawat dan memberi bunga rampai.. ada yang mengadakan marhaban, majlis makan2 dan banyak lagi acara yang lazimnya diadakan pada hari tersebut.

Namun, apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah adakah acara2 sebegini sememangnya dianjurkan oleh nabi s.a.w sendiri atau sahabat2 baginda? Perhatikan artikel yang saya petik daripada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di bawah. Mungkin ada sebahagian kita tidak dapat menerima tokoh ini secara keseluruhannya namun, kebenaran yang diperkatakannya tidak boleh dipandang sepi atau dipertikaikan kerana kebanyakannya adalah berdasarkan dalil2 yang sohih dari Al-Quran dan sunnah nabi s.a.w serta para ulamak.

"" Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.


Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda? ""

Justeru, pada pendapatku, jika benar cintakan junjungan besar nabi s.a.w, amalkanlah sunnah baginda s.a.w dan tinggalkanlah bidaah. Bukannya hanya bersemangat mengatakan aku cintakan nabi dgn sepanduk2 namun, sunnah tidak diikuti.. Fahamilah dan fikir2kanlah..

sumber: drmaza.com

Thursday, February 19, 2009

Pengorbananmu tiada tandingan..

Assalamualaikum w.b.t.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."-Luqman-14

Betapa sayunya hati tatkala membaca ayat2 Allah.. Semua dijelaskan dengan cukup sempurna. Anak2 diajar mentaati ibu bapa selagi mana perintah mereka tidak bertentangan dengan syarak. Memang patutlah Allah mewajibkan kita berbuat baik kepada ibu..
Cubalah dilihat kembali akan jasanya yang tak pernah putus dan berhenti walau sedetik pun. Nilai kasih-sayang dan cinta yang Allah kurniakan terhadap hati2 wanita yang bergelar ibu ini amatlah luar biasa sekali. Subhanallah!

Bermula sejak kita belum dilahirkan lagi, ibulah orang pertama yang kita susahkan. Kita telah menyusahkan ibu kita dengan memaksa dia membawa kita di dalam kandungannya sehinggalah kita dilahirkan. Bukan tempoh yang singkat namun, dalam jarak masa yang agak panjang iaitu biasanya 9 bulan 10 hari. Dalam tempoh itu, pelbagai ujian telah mereka alami. Ada yang mengalami alahan yang sangat memberi kesan kepada dirinya. Teringat saya pada kata2 guru Sains saya masa form3 "Wanita mengandung ni pada 3 bulan terawal akan mengalami perubahan emosi sebanyak 360darjah daripada biasa". Wah! dahsyat sungguh ujian Allah terhadap mereka.

Kemudian mereka melahirkan dengan keadaan yang amat sukar sekali.. dan menyusukan kita dalam tempoh yang agak lama. Setelah itu, kita dibesarkan dalam keadaan penuh kasih-sayang dan segala kainginan kita dipenuhi. Hinggalah ke saat ini, jasa mereka tidak akan pernah luput kerana kita perlu kita ingat! Tanpa ibu yang mehirkan kita maka, tidak mungkin kita akan hidup pada hari ni..

:::Kisah ibu yang sanggup berkorban:::

Semasa mengikuti kursus 'Mempertahankan diri' di Balai Ilmu, Akademi Pengajian Islam beberapa hari lepas, penceramah ada memaparkan mayat seorang ibu yang putus tangannya yang badannya dipenuhi luka2 dan kesan tetakan yang amat menyayat hati.
Apa yang amat terkesan di hati saya ialah ibu ini sanggup menggadaikan nyawanya semata-mata kerana cintanya pada anaknya dan ingin menyelamatkan nyawa anak daripada serangan penjahat. Pada mulanya dia menahan dengan tangannya sehinggalah putus ditetak. Dia tidak berganjak kerana cintanya. Kemudiannya bahagian atas tangannya sebelah lagi lagi pula ditetak dan dilukakan. Mungkin tak tahan dengan kedegilan ibu ini, si penjahat tersebut terus menetak leher ibu ini.. MasyaAllah! Akhirnya ibu ini meninggal demi anaknya. Sayunya hati tatkala melihat akan pengorbanan ibu ini. Seandainya dia adalah seorang muslim, saya doakan agar Allah mengampuni segala dosa2nya serta meletakkannya di tempat yang tertinggi. Amin.

Bagi kita yang masih ada ibu di sisi, jagalah anugerah yang Allah berikan kepada kita ini.. Hargailah mereka. Ibu adalah insan pertama yang perlu kita dahulukan dalam segala hal kecuali bagi wanita yang sudah berkahwin yang perlu lebih dahulukan suaminya dan yang kedua adalah ibu.

Teringat saya semasa cuti Hari Raya lepas, semasa kami ahli keluarga sedang beramah mesra dan berborak di rumah atuk sebelah ibu. Ibu saudara(Cek La) saya dengan nada sedih dan titisan airmata bertakung pada kelopak matanya. Dia berkata kepada ibu saya ketika itu tentang dia ada membaca sajak yang saya tampal di softboard bilik saya di kolej kediaman saya di UM ketika dia datang ke bilik saya. Dia terharu dan menangis semasa membacanya. Antara petikan sajak itu:

Ma..
engkaulah ibu, engkaulah abah..
penat lelahmu dipendam..
terukir senyuman yang mendamaikan..
aku mencintaimu kerana..
engkaulah yang melahirkanku..
menyusukanku..
membesarkanku..
menyokong setiap keputusanku..
tak terbalas segala jasamu..
hanya doa dan kasih-sayangku yang dapat
kuberikan untukmu..
kurindukan dirimu..

Saya menulis sajak ini pada suatu ketika saya amat rindukan 'ma' saya. Masa tu saya menaipnya dengan air mata yang mengalir laju kerana mengenangkan jasanya yang tak terhingga. Selepas abah meninggal pada tahun 2001, 'ma' lah yang sangat bersusah-payah membesarkan kami 9 beradik kerana masa tu kakak sulungku baru berusia 15 tahun.. tiada siapa yang bisa menghitung jasanya. Semoga Allah mengurniakan sebesar-besar ganjaran buatnya.
Saat ibu saudaraku menceritakan tentang itu, air mata ibuku juga turut mengalir..
Ma, tak terbalas jasa-jasamu.. Kupohon ampun salah dan silap. Redhalah ke atas diriku sewaktu hidup dan matiku..