Friday, March 13, 2009

Di sebalik ujian itu..


Syukur kepada Allah kerana masih memberi ruang untukku meneruskan kehidupan ini di samping nikmat yang melimpah ruah yang tak terhitung bilangannya.
Setelah bercuti selama beberapa hari di kampung halaman, saya selamat sampai di Kuala Lumpur pada pagi Rabu, 11/03/09 untuk meneruskan sisa-sisa pengajian di peringkat asasi ini. Pada pagi itu pula ada kelas dari pagi hingga ke petang. Entah kenapa, pada hari itu badanku terasa lemah dan tak bermaya. Kepalaku terasa sakit menyengat. Keesokannya, saya tidak menghadiri kuliah kerana kesihatan yang sangat tidak mengizinkan. Saya ke klinik ditemani seorang sahabat yang baru saya kenali.. Mudah -mudahan Allah membalas jasanya.. Dialah banyak membantuku pada hari itu.
Mungkin inilah kaffarah terhadap dosa2 yang telahku lakukan..Atau mungkin juga satu ujian daripada Penciptaku, Allah yang Maha Agung.
Bukankah Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)."
Al-Baqarah : Ayat 214

Ya.. Aku redha akan ujian ini.. Apalah sangat ujian ini jika dibandingkan dengan ujian yang Allah
timpakan ke atas Rasul dan orang-orang terdahulu.
Sesungguhnya Allah menimpakan sesuatu ujian ke atas kita sesuai dengan kemampuan kita.
FirmanNya yang bermaksud:
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Al-Baqarah : Ayat 286

Sesungguhnya setiap penyakit ada penawarnya.. Di dalam Al-Quran dan hadis sahih telah disebutkan mengenai penawar ini.. Misalnya dalam Surah An-Nahl, ayat 69 Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
"Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."

Dalam hadis sohih pula ada disebutkan:
" Tetaplah kamu dengan Al-Habbah Al-sawda' ini kerana sesungguhnya ia mengandungi penawar bagi segala penyakit kecuali mati."
H.R: Al-Bukhari dan Muslim

Begitulah hebatnya Allah.. Kelihatan mukjizat Al-Quran itu betapa ia mendahului Sains. Ini semua kerana ianya adalah daripada Allah, Pencipta kita semua sebagai makhluknya.. Dia Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh makhlukNya. Begitu juga hadis-hadis yang datangnya daripada nabi S.A.W yang pada hakikatnya juga datang daripada Allah S.W.T. Maha Suci Engkau Ya Allah..

Oleh itu, sebagai insan yang beriman, hendaklah kita yakin terhadap Al-Quran dan As-Sunnah. Sentiasalah kita mengamalkan kedua-dua penawar ini iaitu madu dan habbatus sawda dengan penuh keyakinan kerana ianya secara jelas telah dinyatakan dalam Al-Quran dan sunnah.

Kini, madu dan habbatus sawda mudah didapati di mana-mana sahaja dan kebanyakannya adalah produk buatan muslim sendiri.
Syukur pada Allah kerana pada hari ini saya terasa lebih sihat. Sesungguhnya nikmat sihat itu juga merupakan satu ujian. Mudah-mudahan diri ini tidak terlalu leka dengan nikmat ini kerana Allah boleh menarik nikmat yang ada pada diri ini bila-bila masa sahaja.
Wassalam.

No comments: